top of page
Writer's pictureLeong Mei Hong

Fisioterapi untuk Kanak-Kanak dengan Sindrom Down

Sindrom Down merupakan kondisi kromosom yang berlaku disebabkan masalah pembahagian sel yang menyebabkan penambahan satu kromosom pada kromosom 21. Sindrom Down bukanlah satu penyakit.


Terma ini digunakan untuk menjelaskan ciri-ciri yang terdapat pada seseorang yang terjadi disebabkan oleh perubahan di kromosom ke-21. Tekan sini untuk maklumat lebih lanjut mengenai sindrom Down.




Isi Kandungan


1. Isu Yang Akan Ditangani Dalam Fisioterapi

a. Kelewatan Dalam Pencapaian Perkembangan Motor Kasar

b. Masalah Keseimbangan

c. Otot Yang Lemah

d. Pengurangan Tahap Aktiviti Fizikal

2. Rawatan Fisioterapi

a. Peranan Fisioterapi

b. Aktiviti Yang Dilakukan Dalam Fisioterapi


 

1.Isu Yang Akan Ditangani Dalam Fisioterapi


a. Kelewatan Dalam Pencapaian Perkembangan Motor Kasar


Semua kanak-kanak membesar dan belajar secara berterusan sejak mereka dilahirkan. Mereka berkembang pada kelajuan yang berbeza.


Kanak-kanak dengan sindrom Down secara amnya akan mencapai semua kemahiran motor kasar yang diperlukan untuk melakukan aktiviti seharian tetapi pada kadar yang lebih lambat berbanding dengan kanak-kanak yang tidak mempunyai sindrom Down (Rujuk Jadual di bawah).


Kemahiran motor kasar adalah kebolehan yang diperlukan untuk mengawal otot-otot besar di badan kita untuk menjalankan fungsi harian seperti berdiri, duduk, berjalan, berlari dan melompat.

Tekan sini untuk maklumat lebih lanjut mengenai Kemahiran Motor Kasar.

Pencapaian Perkembangan Motor Kasar

Kemahiran motor bukan sahaja penting untuk fungsi fizikal tetapi juga akan mempengaruhi perkembangan kognitif (otak). Contohnya adalah seperti berikut:


  • Kemahiran mencapai dan menggenggam membolehkan seseeorang kanak-kanak meneroka ciri-ciri objek dan persekitarannya

  • Keupayaan untuk duduk membantu kanak-kanak belajar menulis, makan dan membaca

  • Berjalan membolehkan kanak-kanak meneroka dunia dengan lebih senang berbanding dengan merangkak

  • Keupayaan untuk bergerak bebas meningkatkan peluang untuk interaksi sosial yang akan membantu dalam pembelajaran pertuturan dan bahasa


 

b. Masalah Keseimbangan


Kanak-kanak dengan sindrom Down biasanya akan mempunyai masalah koordinasi, kelihatan lemah dan gaya pergerakan yang kekok yang disebabkan oleh masalah keseimbangan.


Faktor Utama Yang Menyebabkan Masalah Keseimbangan


  • Kelonggaran Ligamen: Kanak-kanak dengan sindrom Down mempunyai sendi yang longgar atau elastik, di mana ia akan membenarkan terlalu banyak pergerakan pada sendi. Keadaan ini menyebabkan sendi menjadi tidak stabil, sukar untuk dikawal dan boleh mempengaruhi keseimbangan.

  • Keregangan Otot Rendah (Hipotonia): Otot kelihatan lemah dan lembik. Kanak-kanak akan memerlukan tenaga yang lebih banyak untuk menggerakkan otot dan menyebabkan seseorang itu mengambil masa yang lebih lama untuk melakukan satu pergerakan. Oleh sebab itu, keseimbangan mereka akan terjejas.


 

c. Otot Yang Lemah


Kanak-kanak dengan sindrom Down mempunyai kekuatan otot yang lemah dan ini akan mempengaruhi kemampuan kanak-kanak untuk melakukan pergerakan dengan lancar.


Bukan itu sahaja, otot yang lemah juga akan mempengaruhi aktiviti kehidupan seharian seperti naik tangga, menulis dan menggunting. Tugas-tugas yang senang akan menjadi halangan yang besar untuk mereka kerana otot yang lemah.


Kekuatan otot yang lemah juga akan menyebabkan:


  • Risiko untuk jatuh lebih tinggi

  • Masalah keseimbangan dan koordinasi

  • Cepat letih

  • Kelewatan dalam pencapaian perkembangan motor

  • Peningkatan kehausan pada sendi


 


d. Pengurangan Tahap Aktiviti Fizikal


Kebanyakan kanak-kanak dengan sindrom Down akan mempunyai gaya hidup yang tidak aktif.


Disebabkan oleh kekuatan dan keseimbangan yang lemah, mereka akan lebih suka duduk di satu tempat dan jarang bergerak. Hal ini menyebabkan banyak individu dengan sindrom Down menjadi obes.

Individu dengan sindrom Down didapati mempunyai kadar obesiti yang jauh lebih tinggi berbanding dengan populasi umum.


Aktiviti fizikal adalah sangat penting untuk kanak-kanak dengan sindrom Down kerana:


  • Menggalakkan perkembangan kemahiran fizikal dan sosial.

  • Menurunkan berat badan

  • Meningkatkan kecergasan kardiovaskular

  • Menguatkan otot

  • Mengurangkan kemurungan

  • Mengurangkan risiko osteoporosis

  • Menambahbaik keseimbangan dan koordinasi


 

2.Rawatan Fisioterapi


a. Peranan Fisioterapi


Fisioterapi memainkan peranan utama untuk membantu kanak-kanak dengan sindrom Down. Pelan intervensi untuk setiap kanak-kanak sindrom Down adalah berbeza mengikut keperluan fizikal, intelektual individu, kekuatan dan kelemahan individu.


Kebanyakan rawatan fisioterapi untuk sindrom Down memerlukan perawatan berterusan. Oleh sebab itu, ahli fisioterapi akan mendidik ahli keluarga untuk sokongan dan melakukan latihan di rumah untuk membantu kanak-kanak dengan sindrom Down.


Cara-cara kanak-kanak dengan sindrom Down menguasai kemahiran motor adalah berbeza seperti rakan sebaya mereka. Contohnya, mereka akan boleh berjalan tetapi dengan kaki terkangkang kerana otot kaki mereka tidak kuat. Alternatif yang mereka gunakan akan menyebabkan komplikasi untuk jangka masa panjang seperti sakit di kaki atau sakit di lutut.


Matlamat utama fisioterapi adalah untuk membolehkan seseorang individu dengan sindrom Down untuk mencapai perkembangan maksimum supaya mereka boleh berdikari dan meningkatkan kualiti kehidupan mereka.

 

b. Aktiviti Yang Dilakukan Dalam Fisioterapi


Tummy Time


Untuk bayi di bawah umur 12 bulan, fisioterapi akan menggalakkan Tummy Time. Tummy time bermaksud meletakkan bayi di posisi meniarap. Bayi adalah masa yang paling sesuai untuk mula menggalakkan pergerakan dan kemahiran motor. Kemahiran ini membantu dalam interaksi antara anak dan persekitarannya di mana kemahiran ini akan meningkatkan kemahiran kognitif, bahasa, kemahiran sosial dan kemahiran menjaga diri.

Berbaring dalam posisi meniarap didapati sangat bermanfaat kerana memberi peluang kepada bayi untuk meningkatkan kekuatan, keseimbangan dan kemahiran motor.


Kanak-kanak dengan sindrom Down biasanya akan lewat dalam perkembangan motor kasar. Sekiranya teknik ini dipraktikkan, bayi akan mencapai perkembangan motor kasar seperti berguling, duduk, merangkak, berdiri dan berjalan dengan lebih cepat.

tummy time
Bayi meniarap

 

Aktiviti Lain


Intervensi yang dilakukan dalam fisioterapi termasuk aktiviti dan senaman yang akan membantu dalam membina kemahiran motor, meningkatkan kekuatan otot, menambah baik posisi tubuh dan keseimbangan.

Contoh aktiviti untuk menguatkan otot:


  • Aktiviti memanjat

  • Merangkak komando

  • Menarik tali

  • Aktiviti berenang atau senaman di air

  • Berjalan atas permukaan yang tidak rata

  • Melompat

  • Mengangkat, menarik atau menolak objek yang berat


Contoh aktiviti untuk keseimbangan:


  • Berjalan atas permukaan tidak rata

  • Duduk di atas bola senaman

  • Berjalan di atas papan titian

  • Duduk atau berdiri di buaian


Fisioterapi juga akan mengajar kanak-kanak untuk menguasai kemahiran yang diperlukan dalam aktiviti sukan seperti kemahiran bermain bola dan berbasikal.


Dengan menguasai kemahiran ini, kanak-kanak dengan sindrom Down akan mempunyai lebih keyakinan diri untuk menyertai aktiviti sukan bersama rakan sebaya.


 

Kesimpulan


Perkembangan fizikal dan kemahiran motor sangat penting kerana ia akan menjadi asas untuk pembinaan kemahiran motor yang memerlukan kawalan pergerakan yang lebih teliti dan tepat.


Oleh sebab itu, fisioterapi sangat penting untuk membantu kanak-kanak dalam aspek fizikal pada perkembangan awal mereka supaya mereka boleh menjadi lebih berdikari di rumah dan di sekolah.

Comentarios


Back to top

bottom of page